LONDON – Chelsea memperoleh suntikan moral apabila bintang baharunya, Christopher Nkunku dijangka turun melakukan debut menentang kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Sheffield United di Stamford Bridge malam ini.
Sejak melengkapkan perpindahan bernilai £52 juta (RM310.2 juta) pada jendela perpindahan musim panas lalu, pemain berusia 26 itu masih belum lagi membuat sebarang penampilan selepas mengalami kecederaan lutut, beberapa hari sebelum saingan liga bermula.
“Kami masih lagi menilai keadaannya hari demi hari. Saya tidak percaya dia mampu cergas lebih cepat berbanding jangkaan, tetapi yang pasti kami akan terus menilai perkembangannya.
“Langkah terakhir akan sentiasa menjadi perkara sukar. Nkunku dan beberapa pemain lagi semakin hampir untuk pulih, namun mungkin akan ada yang mengalami sedikit kelewatan.
“Kami tetap berharap mereka akan dapat bersama pasukan tidak lama lagi,” kata Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino
Biarpun Pochettino seakan tidak memberi harapan besar untuk Nkunku membuat penampilan pertamanya bersama pasukan itu, namun pemain dari Perancis itu dilihat sudah berada pada tahap kecergasan terbaik ketika ini untuk perlawanan dengan The Blades.
The Blues ketika ini berada di tangga ke-12 EPL dan terus dipalit kekecewaan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut apabila tunduk 1-2 kepada Manchester United dan tewas 0-2 di tangan Everton. – AGENSI