fbpx

Aaron-Wooi Yik kempunan kali keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOOI YIK (kanan) dan Aaron terpaksa akur tewas di pusingan suku akhir China Master.

HASRAT beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Du­nia Akhir 2023 di Hangzhou, China tidak kesampaian apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Gimnasium Sukan Olimpik Hangzhou semalam, bekas juara dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan tiga set 21-18, 14-21, 12-21 kepada wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik menamatkan peringkat kumpulan di tangga tercorot selepas tewas dua aksi terdahulu kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Wooi Yik tanpa berselindung mengakui, Wei Keng-Wang Chang menampilkan aksi lebih baik semalam, terutamanya menerusi serangan-serangan ketika set ke­dua dan ketiga.

“Perlu diakui pukulan mereka ketika menyerang sangat bagus. Set pertama mereka lakukan banyak kesilapan mudah, namun mereka mula menunjukkan permainan sebenar sebaik set kedua bermula.

“Sepatutnya kami juga perlu menyerang, tetapi tidak mendapat peluang tersebut. Kami anggap kekalahan ini sebagai pe­ngajaran kerana saingan musim depan sangat penting,” katanya.

Kegagalan ke separuh akhir menyaksikan Aaron-Wooi Yik me­ngulangi pencapaian dalam tiga penampilan terdahulu pada edisi 2019, 2020 dan 2022 apabila turut tersingkir di peringkat kumpulan.

Sementara itu, Aaron berkata, mereka akan berehat beberapa hari sebelum kembali ke gelanggang menjalani latihan sebagai persiapan menjelang Terbuka Ma­laysia di Axiata Arena bermula 9 hingga 14 Januari ini.

“Hari ini (semalam) kami ha­nya fokus pada permainan sendiri, tetapi mereka memang lebih baik berbanding kami. Selepas ini, kami akan rehat beberapa hari sebelum kembali menjalani latihan untuk Terbuka Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI