GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak Mei lalu akan disambung semula pada pertengahan April tahun depan.
Pengarah merangkap Pengasas Bersama Pioneer Adventure, Nivesh Karki, 35, berkata, operasi itu dijadualkan berlangsung sehingga hujung Mei 2024 melibatkan kerjasama 500 sherpa atau malim gunung.
Menurut beliau, pihaknya memberi jaminan pencarian itu akan diadakan secara menyeluruh, bergantung pada situasi dan cuaca pada hari tersebut.
“Kami beri jaminan cari Muhammad Hawari, tetapi tidak jamin akan menemuinya kerana ada kejadian pendaki hilang pada 1942 dijumpai pada 2019 selepas 77 tahun,” katanya pada sesi tayangan video pendakian dan pencarian Muhammad Hawari di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Karki hadir bersama Bidhan Shrestha yang juga jurugambar ekspedisi tersebut.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sebelum itu, pada 18 Mei pukul 3.30 petang waktu tempatan, Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest. Pada 16 Jun lalu, Ketua Misi ME2023 memutuskan misi SAR Muhammad Hawari ditamatkan dan akan disambung semula tahun depan. -KOSMO! ONLINE