KEJAYAAN membantu Johor Darul Ta’zim merangkul gelaran ‘double quadruple’ dengan menyapu bersih empat piala serta membantu skuad Harimau Malaya meningkatkan reputasi membolehkan Arif Aiman Hanafi mula mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pengiktirafan daripada FIFA itu wajar dibanggakan, namun ia tidak seharusnya dibuai pujian yang melampau apabila cabaran besar menanti Arif Aiman dan skuad negara pada pentas Piala Asia yang bermula bulan depan.
Selain itu, ia juga seakan menjadi petunjuk jelas buat panel juri yang akan memilih pemenang bagi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 yang akan berlangsung bulan ini.
Bagi bekas pertahanan negara, Razman Roslan, ramalan daripada pengendali Arab Saudi, Roberto Mancini yang anggap Harimau Malaya mampu lepasi peringkat kumpulan dan pujian FIFA terhadap Arif Aiman jadi khabar gembira kepada industri bola sepak tempatan.
“Satu perkara positif buat Arif dan Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Asia. Tetapi, ia juga membuktikan orang sudah mula nampak dan mengiktiraf kita yang kini sedang pamerkan peningkatan.
“Kita tidak boleh lena dengan pujian sebaliknya kena fokus untuk hadapi Piala Asia. Ini kerana, apabila orang mula beri fokus kepada kita, ia bermakna orang juga akan mula mengkaji mengenai kita.
“Saya juga bersetuju untuk katakan ini adalah ujian buat Arif. Dia tidak boleh dibuai dengan pujian ini, teruskan kerja keras untuk jadi lebih baik dan saya harap kemuncak prestasinya dapat dicapai pada Piala Asia nanti,” katanya.
Kelmarin, FIFA menyenaraikan Arif sebagai salah seorang pemain yang perlu diberikan perhatian di Piala Asia di Qatar, bulan depan dan sebelum itu, Mancini ambil keputusan batalkan persahabatan dengan Harimau Malaya kerana sedar skuad negara mungkin menjadi lawan mereka di pusingan kalah mati.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain negara, Hasnizam Uzir merasakan Arif perlu kekal dengan karakternya sekarang dan harus kekal bercita-cita tinggi dalam mengharungi kariernya selepas ini.
“Arif seorang pemain yang ada cita-cita, mampu gunakan peluang. Dia ada personaliti, sikap yang baik, kekal merendah diri, tidak suka merungut dan kalau kita lihat dia juga tidak suka bersosial termasuklah di media sosial.
“Saya harap akan ada lagi pemain muda seperti ini dan Arif adalah contoh terbaik. Tetapi, dia tidak boleh khayal dengan kejayaan, teruskan bekerja keras dan kena ada azam untuk bantu skuad negara ke Piala Dunia,” katanya.