KUALA SELANGOR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati, di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di masjid itu pada pukul 1 tengah hari dan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selaras keberangkatan baginda, Khutbah Jumaat bertajuk “Raja Berdaulat Menjunjung Kasih Titah Ditaat” telah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.
Menerusi khutbah itu, Muhammad Farhan berkata, struktur tertinggi pemerintahan negara dipayungi oleh Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 32(1).
“Maka sebagai ketua utama negara, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan lebih daripada orang lain. Di samping itu, mempunyai kuasa luas dan penting dalam menstabilkan negara serta melaksanakan urusan kerajaan Persekutuan.
“Justeru, rakyat hendaklah menjunjung kasih kepada baginda sebagai pemimpin kerana ia sebahagian perintah agama,” katanya.
Tambah Muhammad Farhan, khutbah menyarankan mentaati arahan dan titah pemerintah merupakan suatu tuntutan dalam Islam bagi memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara berjaya dicapai dan dikekalkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam di negara ini seharusnya bersyukur kerana Al-Sultan Abdullah merupakan pemerintah yang adil dan prihatin kepada masalah dihadapi oleh rakyat.
Al-Sultan Abdullah bersama kira-kira 800 jemaah kemudian menunaikan solat Jumaat diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar. -KOSMO!ONLINE