BANDAR GAZA – Israel menjadikan sekolah-sekolah di Gaza yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk berlindung daripada serangan tentera Rejim Zionis sebagai berek tentera dan tapak pelaksanaan hukuman mati, kata sebuah badan pemantau hak asasi manusia seperti dilaporkan portal berita The New Arab kelmarin.
Sekurang-kurangnya 15 mayat ditemui pada Rabu lalu di sebuah sekolah di barat kem pelarian Jabalia, demikian menurut beberapa laporan, manakala saksi dan saudara-mara mangsa memberitahu saluran televisyen Al Jazeera bahawa penduduk yang dibunuh ditembak dari jarak dekat.
Badan pemantau hak asasi manusia, Euro-Med berkata, keterangan yang diterima dan siasatan awal pihaknya mendapati kesemua mangsa dibunuh selepas mereka disoal siasat oleh tentera Israel.
“Kami terkejut apabila menemui 15 mayat selepas tentera Israel meninggalkan sekolah tersebut.
“Ia jelas menunjukkan bahawa mereka ditembak dari jarak dekat dan sebahagian daripada badan mangsa hancur akibat tembakan yang kuat,” kata Muhammad Jalal, 37 kepada Euro-Med.
Hampir semua penduduk Gaza telah berpindah dari kediaman mereka sejak tentera Israel memulakan serangan kejam ke atas wilayah Palestin itu pada 7 Oktober lalu.
Hampir 19,000 orang telah terkorban dalam serangan udara dan darat tentera rejim Zionis sejak itu.
Penduduk Palestin yang melarikan diri bertindak mencari perlindungan di sekolah dan hospital, di mana mereka masih menghadapi kempen pengeboman tentera Israel.
Minggu lalu, tentera Israel menangkap berpuluh-puluh lelaki yang sedang berlindung di dua buah sekolah di Gaza.
Mereka yang ditangkap hampir dibogelkan dan dibiarkan memakai seluar dalam serta dipukul dengan teruk.
Antara mereka yang ditahan ialah wartawan portal berita Al-Araby Al-Jadeed, Diaa Al-Kahlout.
Israel membedil dan menyerbu sebilangan sekolah sejak 1 Disember lalu, apabila mereka menyambung semula operasi ketenteraan selepas gencatan senjata kemanusiaan berakhir baru-baru ini.
Kira-kira 50 orang terbunuh apabila tentera Israel menyerbu sekolah Salah al-Din di Bandar Gaza awal minggu ini, kata Euro-Med.
Sementara itu, Rejim Zionis meneruskan serangan di Semenanjung Gaza semalam selepas memberitahu penyokong utamanya, Amerika Syarikat bahawa perang untuk menghancurkan Hamas akan berlarutan ‘selama berbulan-bulan.’
Di Gaza pula, kumpulan Hamas berkata, berpuluh-puluh orang telah terbunuh atau cedera dalam serangan Israel ke atas bandar Khan Younis di selatan Gaza, manakala beberapa saksi mengesahkan sebilangan mangsa maut dalam serangan udara di Nuseirat, tengah Gaza.
Lewat kelmarin di bandar Rafah dekat sempadan Mesir, penduduk Palestin menggunakan lampu suluh untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan selepas pengeboman Israel. – AGENSI