SEPANG – Penumpang dari Semenanjung Malaysia yang ingin ke Sabah dan Sarawak boleh menikmati tambang bernilai RM599 untuk penerbangan tiga hari sebelum perayaan Krismas.
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai inisiatif Kerajaan Madani melalui subsidi harga bersempena cuti perayaan utama.
Katanya, beliau telah membawa syor harga maksimum tetap itu pada mesyuarat mingguan Kabinet kelmarin dan dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri.
“Skim itu meliputi tiket bagi kelas ekonomi sehala lebih RM599. Penumpang boleh berlepas dari beberapa lapangan terbang di Semenanjung yang ada penerbangan ke mana-mana terminal udara di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya selepas Mesyuarat Perancangan Strategik Pengurusan Tertinggi Kementerian Pengangkutan di Sama Sama Hotel hari ini.
Jelasnya, kerajaan akan menanggung perbezaan harga sepatutnya dikenakan oleh operator yang kelaziman amat tinggi iaitu melebihi RM600 jika dibeli pada saat-saat akhir.
Anthony Loke berkata, inisiatif baharu itu juga, bakal memberi banyak manfaat kepada ribuan pelajar miskin dari Sabah dan Sarawak untuk pulang bercuti ketika musim perayaan.
Tambah Anthony Loke, inisiatif ini juga akan diteruskan bagi perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai akan datang. – KOSMO! ONLINE