fbpx

Ibu mimpi wajah Hawari berseri, anak pula sering mengigau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Tom (kanan) sebak mengenangkan Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak Everest, 19 Mei lalu.

GEORGE TOWN – Kerinduan seorang ibu, Che Tom Hassan terhadap anaknya peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang hilang sejak tujuh bulan lalu semakin mendalam sehingga wajah lelaki itu hadir dalam mimpinya, baru-baru ini.

Akui Che Tom, 64, dia masih mengharapkan kepulangan Muhammad Hawari Hashim atau mesra dipanggil Warie, 33, walaupun dalam keadaan sekujur tubuh.

“Harap jumpa Warie, sekurang-kurangnya rungkai masalah itu. Mak cik reda dengan apa yang berlaku, tetapi kalau boleh hendak jumpa jasadnya.

“Rindu dia (Warie) sangat. Dia pernah sekali mai (hadir) dalam mimpi mak cik dua bulan lalu. Mimpi muka sahaja, wajahnya berseri dan senyum, tak cakap apa-apa.

“Mak cik mimpi sat (sekejap) dan terjaga untuk solat subuh,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan video pendakian dan pencarian Muhammad Hawari di puncak Everest yang berlangsung di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Jelas Che Tom, sehingga hari ini dia masih tidak mempunyai kekuatan untuk melihat kelengkapan di dalam beg Muhammad Hawari yang dibawa pulang adiknya pada Julai lalu.

Sementara itu, isteri Muhamamd Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, berkata, anak sulung mereka, Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, sering mengigau pada waktu malam selain menangis setiap kali teringatkan bapanya.

Saffiyah yang menggunakan khidmat jurubahasa isyarat berkata, dia terpaksa kuat dalam menempuhi kehidupan bersama dua anak mereka termasuk yang bongsu, Haris Sufian, 2.

“Kadang-kadang Hana bagi isyarat sayang dan rindu bapanya. Sebelum tidur, dia menangis dan kerap mengigau. Saya cuba pujuk Hana memang rapat dengan bapanya sejak kecil. Kalau boleh kita nak dapatkan Muhammad Hawari, tidak tahu dia hilang di mana.

“Hidup mesti diteruskan. Saya kena kuatkan diri untuk anak-anak dan mesti teruskan kehidupan,” ujarnya yang tinggal bersama keluarga mentua di Kampung Permatang Kerai Besar, Kepala Batas.

Media melaporkan Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut. -KOSMO! ONLINE

HABIS//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI