KLANG – Kerajaan negeri akan melaksanakan tindakan rampasan tanah terhadap mana-mana pengusaha kilang atau premis haram yang masih berdegil melakukan pemutihan bermula tahun depan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya masih memberikan kelonggaran kepada pengusaha ini untuk tampil ke depan agar situasi menang-menang dapat dilaksanakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, namun masih ramai berdegil dan mengambil sikap menunggu sehingga tempoh akhir lanjutan pemutihan pada tahun 2025.
“Kita ambil pendekatan berhemah dan berfikir secara holistik kerana pengusaha kilang ini ada pekerja dan menyumbang ekonomi. Jadi kita ke arah mendidik mereka.
“Namun pada tahun depan juga, saya akan panggil PBT untuk melakukan penguatkuasaan termasuk serahan borang 7A bawah Kanun Tanah Negara dengan tujuan pelucutan hak milikan tanah atau bahasa mudahnya rampasan tanah,” kata pada sidang akhbar selepas sesi townhall bersama lebih 400 kilang tanpa kebenaran (KTK), hari ini.
Jelas beliau, apabila dirampas tanah tersebut akan menjadi kaveat dan pilihan yang ada adalah membayar sebahagian jumlah premium tanah.
“Jadi, mereka kena selesaikan urusan tukar syarat tanah itu baharu dilepaskan kaveat itu. Apa yang penting mereka kena datang ke depan (untuk daftar bagi pemutihan), kalau tidak datang, borang 7A kita serahkan. Ini akan mengejutkan mereka daripada tidur.
“Sekarang kita sudah mudahkan dengan syarat kelulusan KTK telah diminimumkan. Tahun depan juga kerajaan negeri akan rangka dasar membantu semua,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Suee Lim menjelaskan, setakat tahun ini sebanyak 753 kilang telah diputihkan daripada 1,329 KTK sejak 2019 di Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Jadi, kita sedang kejar lagi kira-kira 40 peratus yang masih berdegil dalam proses pemutihan ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE