fbpx

Cuepacs gesa penyelarasan gaji penjawat awam disegerakan sebelum 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan penyelarasan gaji penjawat awam tanpa menunggu sehingga 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan tempoh ditetapkan kerajaan sebelum ini, kajian SSPA yang bermula Julai lalu dijangka dimuktamadkan pada Oktober 2024, manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada 2025.

Menurut Adnan, tempoh tersebut dilihat terlalu lama dan kerajaan sewajarnya memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu terbabit segera kerana ia membabitkan kebajikan 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan.

Tambah beliau, tempoh masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan SSPA baharu pada 2025 juga tidak jelas dan bergantung sepenuhnya kepada situasi kewangan negara.

“Sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima penjawat.

“Situasi ini mengakibatkan ada penjawat awam dan pesara yang tertekan serta tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat terutama yang tinggal di bandar-bandar besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, penjawat awam ketika ini memerlukan sebuah sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan pada 2002 bagaikan kerangka ‘rumah lama’ yang sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Tiada gunanya jika kita mampu mencapai purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025 seperti yang disasarkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sekiranya nasib golongan pekerja bawahan dan menengah masih lagi terhimpit dengan kadar gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan kerajaan untuk meneruskan pemberian bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) untuk tempoh Januari hingga Disember 2024 sekali gus memastikan pesara kerajaan dapat menerima amaun pencen semasa.

Namun, tegas beliau penerusan pembayaran PKKP bukanlah penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang berlaku kerana penyelarasan pencen penjawat awam hanya akan dibuat selaras dengan pelaksanaan semakan gaji perkhidmatan awam yang ketika ini masih dalam tindakan menyediakan cadangan semakan semula.

“Selagi pelarasan gaji perkhidmatan awam tidak buat, selagi itulah penyelarasan pencen penjawat awam tidak boleh dilakukan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan semasa kerajaan seperti inisiatif PKKP,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI