PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencabar pempengaruh pembangkang iaitu YB Viral berdebat dalam satu podcast yang bertajuk ‘Yang Bakar Menteri’.
Menurut Rafizi, budaya memburuk-burukkan seseorang melalui media sosial merupakan satu tindakan yang berbahaya dan merupakan satu ancaman terbesar kepada semua usaha yang dilakukan negara ini.
“Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya.
“Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab,” ulasnya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Tambah Rafizi, dengan adanya platform media sosial terutamanya Tiktok, pempengaruh ini berleluasa menyebarkan fitnah dan pembohongan.
“Mereka akan memainkan sentimen demi sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, yang akhirnya memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.
“Apabila ditanya di Parlimen, pemimpin politik mereka sendiri tidak boleh menjawab,” katanya.
Menurut Rafizi, pejabatnya telah menghantar surat jemputan terbuka kepada YB Viral yang boleh diakses oleh warganet melalui satu pautan yang dikongsikan Rafizi di laman Facebook miliknya.
“Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya, Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE