KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gagal dalam samannya untuk menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap rakyat Malaysia berhubung pembatalan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati saman yang difailkan oleh Mohd. Hatta Sanuri adalah satu penyalahan proses mahkamah dan memalukan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Roz Mawar berkata penyataan tuntutan plaintif (Mohd. Hatta) menggambarkan pelbagai rungutan, dakwaan dan aduan yang menyebabkan kertas kausa bukan sahaja sangat sukar untuk difahami tetapi memalukan.
“Mahkamah ini tidak akan membenarkan prosesnya disalah gunakan. Plaintif dalam samannya menyatakan bahawa defendan telah menyalahgunakan duit rakyat Malaysia apabila membayar pampasan kepada Singapura ekoran pembatalan projek tersebut.
“Tetapi, dengan memfailkan tindakan undang-undang ini, ia juga telah mengguna pakai dana awam yang mana sumber kehakiman telah digunakan dalam mendalami penyataan tuntutan plaintif yang tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang wajar.
“Kesimpulan yang wajar dan logik yang boleh disimpukan ialah tindakan saman ini tidak difailkan dengan niat baik,” ujar Roz Mawar.
Dalam saman yang dikemukakan, Mohd. Hatta dalam samannya menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendakwa dua perdana menteri itu dan tiga lagi defendan cuai dalam menjalankan tugasnya.
Selain Dr. Mahathir dan Muhyiddin turut dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Disember 2022 ialah bekas Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.
Menurut pernyataan tuntutannya, Mohd. Hatta mendakwa, dia memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi dan bagi pihak seluruh rakyat negara ini yang terjejas dan terkesan akibat tindakan salah, kecuaian dan misfeasans (salah laku ketika berada di pejabat awam) sehingga membawa pembatalan salah projek HSR dan pembayaran pampasan tidak perlu kepada Singapura.
Plaintif mendakwa, Dr. Mahathir melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatannya ketika itu dengan menangguhkan projek HSR menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin ketika menjadi Perdana Menteri pula didakwa cuai apabila menamatkan projek berkenaan menyebabkan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia perlu membayar RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala di antara kedua-dua kerajaan.
Ka Siong pula didakwa cuai sehingga menyebabkan hak rakyat Malaysia untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah telah dinafikan.
Sehubungan itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa pembatalan projek yang diumumkan oleh Muhyiddin adalah batal dan tidak sah.
Mohd. Hatta turut menuntut deklarasi supaya kesemua defendan membayar ganti rugi dan pampasan sebanyak RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia termasuk plaintif kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR. – KOSMO! ONLINE