SHAH ALAM – Taktik sindiket penyeludupan menjadikan sebuah inap desa sebagai rumah penampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Kebun di sini, terbongkar selepas digempur polis semalam.
Serbuan Op Pintas kira-kira pukul 5.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil risikan selama dua hari mengenai kewujudan PATI di kawasan tersebut.
Jelas beliau, pihaknya berjaya menahan 59 warga asing berusia 20 hingga 40 tahun termasuk melibatkan 12 wanita.
“Lima daripada wanita itu adalah warga Bangladesh dan seorang etnik Rohingya manakala selebihnya warga Indonesia.
“Semakan mendapati empat lelaki yang ditahan berperanan sebagai ejen, penjaga rumah dan pembantu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Fadil, pihaknya turut merampas sebuah kereta Honda City, wang tunai RM1,000 dan tiga telefon bimbit.
“Semua warga asing itu tiada dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk dan keluar ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan (jalan laut).
“Mereka membayar tambang antara RM1,500 hingga RM2,000 mengikut kawasan dan ejen,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 19659/63,” katanya. -KOSMO!ONLINE