KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir gelombang kedua di Terengganu yang bermula semalam meningkat kepada 461 orang daripada 148 keluarga hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini dua daerah terjejas iaitu Hulu Terengganu dan Setiu.
“Seramai 448 mangsa daripada 144 keluarga berada di tujuh PPS di Hulu Terengganu.
“Setiu pula mempunyai 13 mangsa daripada empat keluarga di dua PPS,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap JPBN Terengganu berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi penduduk bakal berpindah ke PPS memandangkan hujan masih lebat.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiga sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya.
Sungai tersebut ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang merekodkan bacaan setinggi 21.17 meter (m) berbanding paras bahaya 21 m.
Dua lagi ialah Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu setinggi 20.09 m mengatasi paras bahaya 19.7 m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun pula setinggi 13.43 m berbanding paras bahaya 12.50 m. – KOSMO! ONLINE