fbpx

Cikgu bantu urus bawa balik mayat Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua penduduk Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut menunggu di Unit Forensik Hospital Lipis.

PETALING JAYA – Dua mayat Orang Asli yang dilaporkan masih berada di Unit Forensik Hospital Lipis, Pahang selepas ‘gagal’ dibawa pulang oleh ahli keluarganya ekoran ketiadaan kenderaan, kini dalam proses untuk diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO terbabit iaitu Pertubuhan Pejuang Kifayah yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah Islam serta Pertubuhan Kebajikan Danakita sedang membantu keluarga terbabit untuk menghantar pulang dua mayat menggunakan pacuan empat roda.

Perkara itu dimaklumkan seorang guru yang juga aktivis masyarakat, Mohd. Fadli Salleh menerusi hantaran Facebook selepas beliau membaca laporan berita disiarkan pada laman web Kosmo! hari ini.

“Kita akan cuba bantu secara percuma insya-Allah. Team kami telah hubungi individu yang mengendalikan kes ni, Encik Zul. Encik Zul bagitahu, untuk hantar mayat ini perlu 4×4 (pacuan empat roda) sebab kawasan pedalaman.

“Team pengurusan jenazah, Ahmad Nazrul akan bantu pagi esok. Cuma 4×4 mereka ada sebuah saja. Nak cantik kena ada ‘backup’ sebuah lagi 4×4 ‘single cap’. Saya tengah usaha tanya kawan-kawan yang ada 4×4 ‘single cap’ siapa ada masa lapang untuk terlibat bersama team Mat Yoe bantu kes ni,” katanya hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dua orang penduduk Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut, pedalaman Ulu Jelai ‘gagal’ membawa pulang mayat ahli keluarga ke kampung untuk disemadikan berikutan tiada kenderaan disediakan pihak berwajib.

Difahamkan, kedua-dua mayat berkenaan masih berada di Unit Forensik Hospital Lipis sejak semalam setelah disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia dipercayai jangkitan kuman dan Covid-19.

Seorang ahli keluarga Kampung Sinderut, Amri A/L Bah Jong, 24, dipetik berkata, dia masih menunggu kenderaan untuk membawa mendiang isterinya, ErraFazira A/P Hamzah, 27, untuk disemadikan di kampung halaman sejauh 170 kilometer.

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berkongsi situasi perjalanan ke kampung tersebut yang sangat mencabar ditambah lagi dengan keadaan musim hujan ketika ini.

“Semoga dipermudahkan segalanya. Saya pernah ke Pos Sinderut memang sangat jauh melalui tujuh kampung yang kurang elok. Total ada 14 kampung rasanya sepanjang jalan,” komen seorang pengguna.

“Memang jalan teruk sekarang ni nak masuk ke Lenjang, Titom dan Senderut cikgu. Musim hujan ni, saya menetap di Lipis,” kata individu lain. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI