HULU TERENGGANU – Penduduk Kampung Peneh, di sini, cemas apabila terpaksa mengharung banjir selepas kediaman mereka dilanda fenomena kepala air setinggi dua meter dari Sungai Berang kelmarin.
Akibat kejadian itu, seramai 57 penduduk daripada 19 keluarga terpaksa berpindah secara berperingkat ke Balai Raya Kampung Peneh pada pukul 11.30 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Kampung Peneh, Che Khalid Jusoh berkata, kediaman mangsa-mangsa telah ditenggelami banjir akibat hujan lebat dan fenomena kepala air di Sungai Berang berhampiran.
“Sebahagian rumah penduduk ditenggelami air setinggi hampir dua meter akibat fenomena itu.
“Ia memaksa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di balai raya kampung kami secara tidak rasmi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Che Khalid berkata, paras banjir sudah mula surut mulai pukul 4.30 pagi semalam dengan sebahagian penduduk terjejas mula pulang ke rumah masing-masing.
Begitupun, jelas beliau, mereka masih berjaga-jaga memandangkan hujan masih berlarutan.
Sementara itu, seorang penduduk terjejas, Razali Mat Rani, 44, berkata, dia bersama tiga ahli keluarganya terpaksa meredah air sejauh hampir 100 meter setelah kediaman mereka dinaiki banjir.
“Kami mengambil keputusan untuk berpindah bagi menyelamatkan diri setelah rumah kami mula dimasuki banjir pada pukul 2 pagi tadi (semalam).
“Saya yang mendukung anak bongsu berusia setahun mengharung banjir sedalam kira-kira semeter sambil ditemani isteri dan anak sulung berusia 12 tahun,” katanya.
Razali berkata, mereka sekeluarga kembali ke rumah setelah banjir mulai surut pada pukul 8 pagi semalam.
Begitupun, dia masih berwaspada memandangkan rumah mereka berdekatan dengan Sungai Peneh.