SHAH ALAM – Seramai 5,800 individu telah berjaya keluar daripada asnaf fakir miskin secara sukarela dan menerusi pelbagai program pembangunan asnaf serta penyaluran bantuan yang dilaksanakan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf berkata, dengan kejayaan ini hasil inisiatif LZS dalam membantu meningkatkan pendapatan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, asnaf ini juga diberi latihan dari segi pengembangan perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran dan pembungkusan produk serta tempat berniaga yang sesuai.
“LZS menyasarkan 4,000 asnaf keluar daripada kemiskinan bermula tahun 2023 pada setiap tahun.
“Alhamdulillah sehingga November tahun ini, kita sudah mencapai 4,000 asnaf keluar daripada asnaf fakir miskin dan tahun lalu dengan 1,800 asnaf,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata Md. Yusmizan, LZS memberi penekanan kepada asnaf dari aspek pembangunan modal insan dalam membentuk kemenjadian asnaf termasuk kolaborasi dengan agensi seperti
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memudahkan asnaf atau anak-anak asnaf mendapat pekerjaan.
Ujarnya, pendekatan ini diambil bagi mencetuskan motivasi atau semangat dalam diri dalam kalangan golongan asnaf untuk keluar daripada penerima bantuan asnaf.
“Tak kan hendak menjadi asnaf selama-lamanya sebab kemiskinan bukan perkara patut diwarisi mereka. Memang ada asnaf untuk keluar secara sukarela berjumpa dengan kita dan menghantar surat bagi tujuan tersebut,” jelasnya.
Berita berkaitan: Perantau ke Selangor untuk cari kerja tetapi berakhir jadi asnaf
Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan bantuan hameodialisis dan perubatan setiap tahun. Ini termasuk pembelian keperluan perubatan seperti susu khas, kerusi roda, kaki palsu dan lain-lain.
“Jumlah paling tinggi perubatan ini adalah dialisis dengan kita mempunyai kira-kira 2,700 pesakit melibatkan keseluruhan kos RM60 juta yang ditanggung LZS.
“Selain itu, asnaf fakir miskin yang menerima bantuan kewangan bulanan memperolehi bantuan setiap bulan melalui akaun bank asnaf,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal bangkit memperjuangkan kehidupannya keluar daripada kepompong kemiskinan selepas kematian suaminya akibat kanser usus pada 2008.
Kata Yusma Yunus, 54, perkara paling dipentingkan adalah keperluan anak-anaknya yang kini kesemuanya berusia 20 hingga 27 tahun.
“Sememangnya bukan mudah untuk bangkit selepas kematian suami di samping anak-anak yang masih kecil,” jelasnya.
Katanya, dia kemudiannya menerima van yang disumbang oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. untuk perniagaan makanan sejuk beku.