fbpx

Set Talam imbau kenangan nikmati lauk kampung tradisional Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SET Talam yang menghidangkan lauk pauk kampung telah mendapat sambutan menggalakkan di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak.

IPOH – Hotel Casuarina@Meru yang terkenal dalam kalangan masyarakat di negeri Perak kini memperkenalkan set talam yang menghidangkan gabungan makanan tradisional negeri tersebut yang menyelerakan pada harga berpatutan.

Menu yang disediakan oleh restoran yang memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di hotel tersebut juga diper­kenalkan se­iring Promosi Makanan Tradisi Perak bersempena fasa awal sambutan Tahun Melawat Perak 2024.

Pengurus Besar Hotel Ca­suarina@Meru, Sabrina Ahmad Tah berkata, ini adalah salah satu komitmen pihaknya kepada pe­ngunjung untuk menikmati keaslian cita rasa dan sajian masakan negeri Perak.

 

“Sejak dilancarkan di hotel ini, set ini telah mendapat sambutan baik daripada pelanggan terma­suk mereka yang bukan beragama Islam serta juga pelancong dari luar Perak.

“Melalui hidangan ini, ada pengunjung yang dapat mengimbau kenangan mereka menikmati lauk tradisional kampung yang dimasak oleh nenek atau ibu sebelum ini.

“Kami juga dapat mengete­ngahkan masakan yang menggunakan bahan tradisional dari pelosok kampung seperti cen­dawan kikir, ulam-ulaman, pucuk paku, siput sedut, telur ikan dan ikan pekasam yang dimasak mengikut resipi zaman dulu-dulu kepada generasi muda

“Set talam itu terdiri daripada lima hidangan yang akan bertukar ganti juadahnya mengikut keperluan cef dalam satu-satu masa bertujuan untuk mempromosikan menu popular dari setiap daerah di negeri Perak,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan baru-baru ini.

Set talam yang dihidangkan kini adalah pilihan lima menu yang terdiri daripada masakan ikan patin masak tempoyak, rendang tok, sambal tempoyak bersama ulam-ulaman kampung seperti jering atau petai, kulat sisir bersama pucuk paku goreng dan juga masak lemak telur ikan mayong.

 

Tambah Sabrina, pihak hotel bakal memperkenalkan menu-menu yang menarik dan lebih istimewa pada masa akan datang bersesuaian dengan promosi Tahun Melawat Perak tahun depan.

Antara hidangan tersebut adalah seperti laksa mi, pucuk ubi masak tempoyak, laksa tepung gandum, mi udang, gulai da­ging pisang muda, gulai lemak nangka muda, gulai siput sedut, telur dadar kulat sisir, rendang udang, gulai siput sedut dan ikan bawal masak gulai masam.

Sabrina menerangkan, set talam yang bersesuaian untuk dinikmati oleh dua orang itu ditawarkan pada harga RM60.

“Kami berharap melalui promosi ini, ia akan dapat membantu menggalakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan negeri ini serta mampu menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa menjamu selera ke hotel ini.

“Keistimewaan warisan kulinari Perak berpotensi mening­katkan pengalaman para pe­ngunjung ke negeri ini seterusnya memartabatkan lagi warisan dan budaya makanan tradisional ne­geri Perak,” katanya.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI