PETALING JAYA – Tanah perkuburan umat Islam Palestin turut menjadi sasaran rejim Zionis Israel apabila mereka tergamak memusnahkan kawasan tersebut dipercayai menggunakan kereta kebal.
Kejadian itu dikongsikan oleh seorang jurugambar bebas dari Gaza, Wissam Nassar yang memuat naik video di Instagram mengenai keadaan tanah perkuburan yang dimusnahkan rejim Zionis Israel.
“Perkuburan di kejiranan Al Falouja di dalam kem pelarian Jabalia dimusnahkan oleh tentera penjajah di kawasan utara Gaza semalam,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Berdasarkan video, kelihatan kesan seperti kereta kebal telah melalui kawasan tanah perkuburan itu serta memusnahkan kubur-kubur yang berada di situ.
Ia kemudian mengundang kemarahan orang ramai terhadap perbuatan melampau rejim Zionis Israel.
“Tanah perkuburan pun? Mereka ini tak lepaskan peluang untuk menunjukkan setiap hari siapa sebenarnya mereka,” komen Alexandra Mascia.
“Inikah yang dinamakan mempertahankan diri?,” soal seorang lagi pengguna Instagram.
“Jadi Hamas menyembunyikan diri di dalam keranda? Musnahkan tanah perkuburan memang melampau,” kata individu lain. – KOSMO! ONLINE.