MENGIKTIRAF individu-individu berpengaruh yang melakar kejayaan dalam bidang masing-masing adalah suatu langkah wajar atas segala kerja keras yang telah dilakukan.
Begitu juga golongan usahawan atas pencapaian hebat mereka agar mampu mengukuhkan lagi kedudukan jenama perniagaan masing-masing.
Bertunjangkan objektif tersebut, The Knights Award menjadi satu bentuk acara penghargaan yang dianjurkan untuk mengiktiraf kejayaan tokoh-tokoh serta para usahawan dari sekitar Asia.
The Knights Award 2023 Musim Kedua – Edisi Asia dianjurkan penuh gemilang di W Hotel, Kuala Lumpur Rabu lalu untuk meraikan kecemerlangan.
Untuk penganjuran kali ini, seramai 45 individu dan syarikat telah diberikan penganugerahan.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, anugerah itu mengiktiraf usaha cemerlang dan sumbangan individu bukan saja kepada pertumbuhan ekonomi negara ini tetapi juga seluruh Asia.
Menurutnya, ia berfungsi sebagai bukti dedikasi dan daya tahan mereka bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan dan inovasi yang berkembang maju di rantau ini.
“Sejajar dengan misi kami, kami dengan bangganya menyepadukan matlamat rancangan Malaysia Madani ke dalam The Knights Award.
“Anugerah ini boleh menjadi satu kerjasama strategik yang bertujuan untuk memartabat Malaysia di persada antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan dan inovasi,” katanya.
Tambahnya, melalui sinergi itu, mereka akan berusaha ke arah membangunkan tonggak asas yang diperlukan untuk Malaysia berkembang maju di peringkat global.
Visinya juga adalah untuk merentasi sempadan negara yang bertujuan membina ekosistem perniagaan teguh serta membolehkan usahawan membentuk jaringan kerjasama.
Sebelum ini, The Knights Award musim pertama diadakan pada Jun lalu dan seramai 70 individu tersenarai sebagai penerima anugerah tersebut atas khidmat kecemerlangan serta kepimpinan dalam dan luar negara.
Jelas Wong, bagi edisi kedua ini penganjurannya mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada 45 individu dan syarikat atas pencapaian cemerlang mereka.
“Selepas ini, anugerah ini akan diteruskan tahun depan dan kami akan cuba anjurkannya di Malaysia dan juga luar negara.
“Sudah tentu kami berharap untuk menerima lebih banyak penyertaan, bukan saja dari seluruh Asia, tetapi juga dari negara-negara Eropah,” jelasnya.
Tambahnya, The Knights Award juga cukup bertuah kerana mendapat sokongan penaung dirajanya iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Bagi The Knights Award 2023 Musim Kedua – Edisi Asia itu meliputi tiga kategori anugerah iaitu Duke, Earl dan Baron.
Kategori Duke merupakan anugerah berdaulat yang mengiktiraf pencapaian luar biasa oleh individu dan syarikat korporat dalam bidang masing-masing.
Individu yang menerima anugerah itu ialah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang dianugerahkan Guardian of Public Health Covid-19 Response Icon, pakar sinologi Asia Tenggara, Prof. Wang Gung Wu (Lifetime Achievement Sinologist Southeast Asia) dan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (The Golden Voice of The East).
Bagi sektor korporat pula, penerima anugerah Duke ialah Bernama TV, Aston Martin, Guardforce AI dan lain-lain lagi.
Sementara itu, bagi kategori Earl, anugerah itu diberi atas sumbangan dan pencapaian individu dan syarikat. Penerimanya seperti Jaspers Lai dari Singapura, Marcelito Pomoy dari Filipina dan ikon-ikon tempatan seperti Prof. Datuk Chef Zam, Harith Iskander, SimplySiti, World Of Buzz dan banyak lagi.
Bagi kategori Baron, anugerah itu diberikan kepada mereka yang semakin meningkat nama dalam suatu industri dan antara penerimanya ialah pencipta kandungan, Arieff Yong, The Creation Studio, Mozzafiato Beauty dan lain-lain.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza yang menerima anugerah bagi kategori Duke untuk individu dan Earl bagi produknya SimplySiti bersyukur kerana anugerah yang diterimanya itu menjadi satu kenangan manis bagi penutup 2023.
Baginya, anugerah yang diterima itu membuktikan SimplySiti bukan hanya sekadar produk tempatan, tetapi ia berjenama dan berkualiti antarabangsa.
“Saya pastikan setiap produk dihasilkan mencapai kualiti yang baik dan produk ini boleh pergi ke peringkat lebih jauh.
“Anugerah ini juga istimewa buat peribadi kerana Allah berikan suara ini yang membolehkan saya berjumpa peminat saya daripada pelbagai golongan serta latar belakang dan saya dapat buat semula kebajikan kepada mereka serta orang lain,” katanya.