MANILA – Filipina mengusir 180 warganegara China hari ini selepas mereka ditahan dalam serbuan ke atas operasi pemerdagangan seks dan penipuan online di Manila, kata beberapa pegawai hari ini.
Warga China, Korea, Vietnam dan Filipina adalah antara hampir 600 orang yang ditemui di sebuah kawasan semasa operasi pihak berkuasa, Oktober lalu.
Alat mainan seks, sebuah rumah urut, beberapa bilik karaoke dan restoran ditemui di dalam bangunan berkenaan. Pihak berkuasa menyatakan, bangunan itu memiliki lesen untuk permainan internet.
“Sebilangan wanita diselamatkan semasa serbuan kami,” kata polis.
“Kesemua warga China yang dihantar pulang itu tidak mempunyai permit kerja dan terlibat dalam penipuan online,” kata Setiausaha Rendah Suruhanjaya Anti-Jenayah Terancang, Gilberto Cruz pula kepada AFP.
Cruz berkata, lebih ramai rakyat asing yang ditahan dalam serbuan itu akan dihantar pulang dalam masa beberapa minggu lagi.
Kebimbangan antarabangsa mengenai penipuan internet meningkat di rantau Asia Pasifik, selalunya dikendalikan oleh mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa mempromosikan pelaburan mata wang krypto palsu.
Senator Filipina, Risa Hontiveros sebelum ini memberi amaran bahawa pusat-pusat panggilan ‘scammer’ beroperasi di Filipina dan menggunakan warga asing yang diperdagangkan ke negara itu sebagai pekerja.
Dalam laporan pemerdagangan manusia 2023, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa Filipina ‘tidak menyiasat bersungguh-sungguh atau mendakwa jenayah pemerdagangan buruh yang berlaku di negara itu. – AFP