BOLOGNA – Pelumba baharu Gresini Racing, Marc Marquez dilaporkan hanya akan menerima jentera yang pernah digunakan Johann Zarco dan bukannya jentera milik Jorge Martin ataupun juara dunia, Francesco Bagnaia.
Difahamkan, Gresini hanya diberikan jentera spesifikasi lama, berbeza dengan pasukan kilang Ducati dan Pramac Racing yang bakal menggunakan jentera serba baharu ditambah spesifikasi terkini.
Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna mengesahkan perkara tersebut, namun beliau percaya jentera baharu Ducati dan Pramac Racing perlu melalui beberapa peringkat ujian lagi kerana belum mencapai standard dimahukan.
“Marc Marquez sama dengan pasukan-pasukan lain yang akan menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP23. Dia akan diberikan jentera yang digunakan Johann Zarco pada saingan musim ini.
“Berhubung jentera Pecco Bagnaia, Jorge Martin dan Enea Bastianini, kami terapkan sedikit evolusi, tetapi ia mungkin berikan kami masalah bagi mendapatkan prestasi dan kestabilan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan tidak akan meminggirkan pasukan-pasukan satelit yang menggunakan enjin Ducati sekiranya mereka berdepan sebarang masalah prestasi pada saingan musim hadapan.
“Saya sentiasa mendengar setiap aduan pelumba sepanjang hidup saya dan akan terus melakukannya. Sekiranya pelumba tidak beritahu apa masalah mereka, saya anggap perkara itu sudah selesai,” ujar Dall’Igna. – AGENSI