LONDON – Keputusan Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino yang tidak melantik Thiago Silva sebagai ketua pasukan itu dikatakan menjadi punca wujudnya suasana yang tidak harmoni dalam bilik persalinan pasukan itu.
Pengendali baharu itu tiba dan memberikan lilitan lengan kepada Reece James susulan pemergian Cesar Azpilicueta selain melantik Ben Chilwell sebagai penolong ketua pasukan, namun kedua-dua pemain berkenaan berdepan isu kecederaan dan kecergasan ketika ini.
Situasi tersebut menyebabkan Pochettino membuat keputusan melantik Conor Gallagher sebagai pengganti sekiranya kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa beberapa pemain apabila Silva tidak diberikan tugas itu.
Silva yang berusia 39 tahun dianggap pemain yang memiliki pengalaman paling luar berbanding pemain yang berada di bilik persalinan Chelsea ketika ini apabila sudah membuat 897 penampilan dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional.
Aksi hujung minggu ini menentang Sheffield United menyaksikan Gallagher mungkin akan dilantik sebagai kapten The Blues buat kali kelapan musim ini sehingga menimbulkan khabar angin bahawa Pochettino cuba untuk memalukan Silva.
Malah, ketika ketiga-tiga pemain kegemaran Pochettino itu tidak dapat diturunkan sebelum ini, pengurus berkenaan membuat keputusan memberikan tugas ketua pasukan kepada pemain pertahanan berusia 20 tahun, Levi Colwill ketika Silva berada dalam kesebelasan pasukan.
Difahamkan beberapa pemain lain mula mempertikaikan tindakan Pochettino itu sehingga berlakunya perpecahan dalam pasukan yang memberikan kesan kepada prestasi Chelsea yang berada di kedudukan ke-12 ketika ini. – AGENSI