Mood bercuti menjelang akhir tahun mula dirasai dengan pelbagai promosi, program dan festival yang diadakan seiring dengan sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini sehingga cuti Tahun Baharu 2024.
Bagi yang berduit, ini adalah masa untuk ‘terbang’ ke luar negara menikmati musim sejuk dan bermain salji. Bagaimanapun, bagi mereka yang memilih bercuti dalam negara, banyak lagi destinasi menarik dan unik yang boleh diteroka dan dikongsi bersama pengalaman dengan keluarga serta orang tersayang.
Semuanya bergantung kepada bajet masing-masing, ada yang memilih bercuti di hotel lima bintang, berkhemah, balik kampung atau hanya sekadar berehat di rumah masing-masing.
Lebih menarik ada juga menjalani ibadah umrah semasa musim cuti sekolah ini.
Seperti mana trend sebelum ini, menjelangnya seminggu sebelum sambutan Hari Krismas atau selepas hari perayaan tersebut sehingga cuti Tahun Baharu, ramai ibu bapa membuat perancangan bercuti bersama keluarga dan ini bermakna mereka juga sebagai kakitangan di pejabat kerajaan atau swasta juga tidak masuk ke pejabat kerana bercuti.
Tidak ketinggalan ramai juga pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan juga pengurusan kanan syarikat lain yang turut mengambil cuti membuatkan suasana di pejabat agak sunyi dan muram.
Segala mesyuarat dan pertemuan juga perlu ditunda pada Januari depan, malah ada juga doktor yang mengambil peluang untuk bercuti sehingga pertemuan bersama pesakit di tunda ke hari lain.
Bagaimanapun, bagi mereka yang akan bercuti dan meninggalkan tugasan di pejabat, pastikan tugas dan tanggungjawab diselesaikan dahulu agar tidak menjejaskan operasi bahagian lain, sehingga ada pihak lain yang terpaksa mengambil alih kerja asal.
Jika bercuti buatlah cara bercuti, penuhi masa sepenuhnya dengan keluarga dan jika perlu jangan pula dipantau tugasan ‘anak buah’ di pejabat, serahkan tanggungjawab itu kepada mereka yang telah diberi kepercayaan dan bagi majikan pula, cuba elakkan daripada menganggu keharmonian pekerja yang sedang bercuti.
Jangan dipertikaikan cuti yang diambil oleh ‘anak buah’ masing-masing kerana itu adalah hak mereka mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh sesebuah syarikat. Gunakanlah ruang bercuti itu untuk merihatkan minda dan fizikal mengikut cara masing-masing, selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang jauh dan dekat.
Diharapkan semoga ruang santai dan udara segar yang dimanfaatkan ketika bercuti akan memberi nafas baharu dengan semangat dan idea bernas kepada majikan atau kakitangan untuk kembali segar bekerja dengan azam dan misi yang baharu untuk berdepan cabaran tahun 2024.