KAJANG – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.
Agus dilihat memasuki pekarangan IPD Kajang sekitar pukul 11 pagi bersama peguamnya, Zaflee Pakwanteh.
Beliau kemudiannya beredar selepas dua jam menaiki Toyota Estima berwarna putih kira-kira pada pukul 1.17 petang.
Kehadirannya ke IPD Kajang dipercayai bagi tujuan rakaman keterangan berhubung dakwaan Penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir yang diganggu secaea seksual oleh Agus.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis mula menjalankan siasatan susulan dakwaan gangguan seksual melibatkan bekas Mohammad Agus.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus terhadap Abdul Wahab dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober.
Susulan itu, beliau memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D kanun sama atas kesalahan melanggar kesopanan.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.
Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.-KOSMO! ONLINE.