PETALING JAYA – Tular sebuah rakaman berdurasi 41 saat memaparkan seorang guru besar bertindak memarahi dan menampar seorang pelajar lelaki dalam majlis rasmi di sebuah sekolah di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Video tersebut dikongsikan di laman Facebook seorang guru, Mohd. Fadli Salleh malam tadi sehingga mendapat perhatian lebih 4,000 pengguna lain.
Selain itu, tersebar satu lagi video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan guru sama bertindak menyepak kaki seorang pelajar lelaki yang lain dalam majlis terbabit.
Menurut Mohd. Fadli, dia mempersoalkan apakah kesalahan pelajar terbabit sehingga guru tersebut bertindak kasar di hadapan khalayak ramai.
“Majlis tengah berlangsung. Murid-murid, guru (dan mungkin ada pelawat) penuh dewan, seorang guru pergi lempang murid dekat depan.
“Apa la salah budak itu sampai tak boleh sabar tunggu majlis habis baru ambil tindakan.
“Zaman sekarang ini, orang boleh rakam setiap momen berlaku depan mata. Bila sebar, sekejap sahaja tular dan penuh la maki hamun netizen pada guru-guru,” katanya.
Katanya lagi, sebagai seorang pendidik seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar dan bukan bertindak mengikut emosi sekiranya berdepan dengan masalah.
“Kita nak orang hormat kita, tapi tindakan kita buat orang marah dan hilang hormat. Dah macam mana?
“Harap kes ini selesai elok-elok lah dan diharap perkara seperti ini tidak lagi berlaku di masa akan datang,” pesannya.
Sementara itu, di ruangan komen hantaran Mohd. Fadli, seorang individu dikenali sebagai Wan Muliani memaklumkan kejadian tersebut berpunca disebabkan dua pelajar terbabit dilihat ‘bermain’ ketika nyanyian lagu Negaraku sebelum mereka ditegur oleh guru besar berkenaan.
“Budak (pelajar) pertama tak duduk diam masa nyanyi lagu Negaraku, budak kedua tersenyum-senyum tengok budak pertama.
“Ada majlis dan ada pihak polis dalam majlis ini, trauma budak dan parents (ibu bapa) ini. Harap ada tindakan segera memandangkan ini bukan kali pertama guru besar pukul budak waktu perhimpunan. Sekolah anak saya ini,” terangnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata orang ramai menyifatkan tindakan itu tidak wajar dilakukan dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh murid dan guru selain meminta pihak Kementerian Pendidikan (KPM) siasat dakwaan tersebut segera.
“Apa pun alasan, ia tetap melampau dan memalukan. Kita ada cara, ada masa, ada tempat yang sesuai.
“Harap mak ayah adik ini boleh bawa kes ini ke mahkamah. Jarang jumpa cikgu macam ini, KPM tolong ambil tindakan berat kepada manusia ini,” tegas Affendy Mohamad. – KOSMO! ONLINE