PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mahu meneruskan agenda-agenda sedia ada yang telah digerakkan oleh kementerian termasuk perkara berkaitan dasar pendidikan tinggi negara.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan akan memberi fokus terhadap tiga kelompok teras utama iaitu golongan mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir.
“Dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), di bawah kerajaan Madani, saya akan melakukan yang terbaik bersama pasukan dalam melaksanakan misi besar pendidikan tinggi negara yang sudah disusun gariskan, sebagai pelanjut, penerus kepada dasar yang sudah digagaskan.
“Saya akan laksanakan bersama timbalan menteri (Datuk Mustapha Sakmud) dan pasukan di kementerian ini untuk membawa Malaysia berada di persada antarabangsa dengan dasar pendidikan yang baik, memenuhi tuntutan semasa dan pada masa sama menyeimbangkan pembangunan material, moral dan kerohanian,” katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘clock in’ bersama timbalan menteri di pekarangan lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE