PETALING JAYA – Orang ramai dilihat kembali memuat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing ekoran jangkitan kes Covid-19 kembali meningkat sejak beberapa minggu lalu.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, rata-rata pengguna yang sebelum ini sudah memadamkan aplikasi tersebut, namun terpaksa menggunakannya semula bagi mengetahui perkembangan terkini berkaitan kes Covid-19 termasuk mengemaskini status kesihatan.
Seorang pengguna Facebook, Ayuni Najhan berkata, dia telah memuat turun semula MySejahtera minggu lalu selepas disahkan positif Covid-19.
“Hampir setahun dah ‘delete’ (padam) MySejahtera dalam telefon, nampaknya kena guna semula. Minggu lepas demam saja-saja buat ‘Covid-19 test’, nampaknya ‘double line’ (positif Covid-19). Jaga-jaga semua, pakai pelitup muka, jaga kebersihan, elak pergi tempat ramai. Virus semakin menular,” pesannya dalam hantaran dimuat naik di Facebook semalam.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Idris Jang memaklumkan dia dan isteri sekali lagi dijangkiti Covid-19 buat kali keempat.
“Buat naya…kali keempat kena lagi Covid-19, habis cucuk vaksin dah badan ini, tumbang juga. MySejahtera kena ‘on’ (muat turun) semula.
“Penangan pergi majlis kenduri minggu lepas, dah jadi kluster kenduri kahwin. Setakat hari ini, aku okey gejala tak teruk sangat, isteri aku la sampai lembek badan,” katanya dalam hantaran hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Radzi Abu Hassan berkata walaupun kes Covid-19 sudah melepasi 12,000, namun keadaan dalam negara masih terkawal dan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kapasitinya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjangkakan peningkatan kes Covid-19 akan bertambah selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah yang bermula Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE