KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup 78 ekor kambing dipercayai dari negara jiran di Kampung Penarik, Setiu pada kelmarin.
Lori membawa kambing-kambing terbabit berjaya dipintas pasukan penguat kuasa JPV negeri pada pukul 7.30 malam.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Anun Man berkata, sebelum itu, lori membawa kambing seludup berkenaan diekori kira-kira sejam dari Tok Bali, Kelantan.
“Pemeriksaan di dalam lori itu mendapati 78 ekor kambing tersebut dimasukkan dalam guni dan disorokkan dalam kanvas bertutup di bahagian belakang kenderaan itu.
“Kegiatan menyeludup kambing dari negara jiran semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan 521 ekor haiwan ternakan itu dirampas sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JPV Terengganu di sini hari ini
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM1.1 juta.
Tambah beliau, kegiatan menyeludup hawian itu amat membimbangkan kerana pemeriksaan JPV mendapati kebanyakan kambing dirampas memiliki gejala penyakit ‘tuberkulosis’ atau TB. – KOSMO! ONLINE