KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, esok.
Ia susulan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, Oktober lalu.
Sumber mengesahkan bekas pensyarah politik itu akan hadir kira-kira 10 pagi, diiringi peguam Zaflee Pakwanteh.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis mula menjalankan siasatan susulan dakwaan gangguan seksual melibatkan bekas Mohammad Agus.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus terhadap Abdul Wahab dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober.
Susulan itu, beliau memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D kanun sama atas kesalahan melanggar kesopanan.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.
Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE