MUAR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular seorang pelanggan bertindak agresif menampar seorang pekerja kedai telefon di Pagoh, Muar, di sini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera tanpa senjata.
“Polis telah mengambil keterangan kedua-dua belah pihak selepas mereka membuat laporan polis di Balai Polis Muar pada semalam kira-kira pukul 1.53 petang.
“Hasil siasatan dari pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember (semalam) pada pukul 1.10 tengah hari,” katanya dala satu kenyataan di sini.
Ujarnya, punca kejadian adalah akibat ketidakpuasan hati pelanggan atas perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja kedai telefon terbabit.
Setelah itu, berlakunya pertikaman lidah dan tindakan agresif pelanggan terhadap jurujual berkenaan.
Pelanggan tersebut adalah lelaki tempatan berumur 45 tahun, manakala pekerja perempuan berumur 24 tahun.
Dalam pada itu, pihak polis menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video rakaman kejadian yang boleh menimbulkan kegusaran awam. – KOSMO! ONLINE