SEREMBAN – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian penderaan kanak-kanak lelaki berusia setahun sebulan disyaki dilakukan pengasuh di kawasan Sikamat di sini seperti yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superitendan Mohd. Rosli Ishak berkata, pihaknya telah mengesan satu hantaran di aplikasi Instagram pemilik akaun mendakwa berlakunya penderaan ke atas anaknya.
“Semakan pihak polis mendapati satu laporan polis telah diterima pada 7 Disember lalu berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai dua puluh tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Justeru, Mohd. Rosli berkata, pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa bentuk penganiayaan atau pengabaian ke atas kanak-kanak.
Menerusi hantaran tersebut, wanita itu mendakwa kejadian penderaan itu berlaku pada 5 Disember lalu selepas suaminya melihat banyak kesan lebam di belakang badan anaknya yang berusia setahun sebulan ketika mahu menukar lampin.
“Suami terus panggil tengok badan anak. Betapa terkejut dan luluhnya hati aku tengok badan anak aku teruk lebam-lebam macam tu.
“Aku bagitahu awal-awal ya, sebelum ni memang dah banyak kali anak aku ada kesan-kesan lebam tapi tak ‘obvious’ sangat. Aku dengan laki aku boleh husnudzon lagi. Sebab bila kita orang tanya, jawapan yang diberi mesti cakap anak asuhan lain yang buat. Okay tak apa aku fikir budak-budak,” tulisnya.
Ibu mangsa berkata, dia menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut baru tiga bulan dan selama tempoh tersebut, akan ada kesan lebam pada badan anak, tetapi tidak dimaklumkan oleh pengasuh berkenaan. – KOSMO! ONLINE