PETALING JAYA – Video resipi burger Khairul Aming, McMing mencetuskan sambutan luar biasa sehingga stok daging oblong di pasar raya dilaporkan habis dijual.
Melalui ciapan di aplikasi X @_NazriH, premis perniagaan makanan sejuk beku itu terlihat telah menampal notis pemberitahuan kepada pelanggan mengenai kehabisan stok jualan daging oblong mereka.
Dalam notis tersebut, dinyatakan bahawa daging oblong lembu seberat 350 gram dan 500 gram akan kembali dijual pada hari Selasa setelah stok kembali seperti biasa.
Pada masa sama, pihak cawangan itu turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul, sambil mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang setia membeli di kedai mereka.
Sementara itu, di ruangan komen, ramai yang terkejut dan bangga dengan populariti serta permintaan tinggi terhadap produk tersebut.
“Kalau Khairul Aming buka kedai, mesti restoran makanan segera lain tutup,” komen Ricky.
“Ini memang betul-betul dikatakan seorang ‘influencer’, hebat betul penangan resipi McMing,” tambah Wani.
Sehingga hari ini, video resipi McMing telah menerima sebanyak 5.5 juta tontonan dan 248,892 ribu tanda suka sejak ia dimuat naik enam hari lalu. – KOSMO! ONLINE