PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan memaklumkan, status beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) ketika ini kekal.
Menurutnya, walaupun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baharu semalam, beliau buat masa ini masih kekal mengemudi unit khas berkenaan.
“Status quo for now,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai status sebagai pengerusi MITRA selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi bangunan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ramanan antara muka baharu timbalan menteri dalam senarai rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ditanya mengenai agenda tahun 2024 KUSKOP, Ramanan berkata, antara aspirasi yang digariskan termasuk meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri berimpak tinggi bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global.
Selain itu, katanya, ia melibatkan pemerkasaan PMKS supaya bersedia untuk menerokai pasaran modal menerusi peningkatan kesedaran, kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat.
“Pertumbuhan gerakan koperasi akan dipacu supaya lebih kompetitif dan berprespasti tinggi melalui transformasi sokongan koperasi dan penglibatan dalam industri berpotensi.
“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan menteri (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick) untuk melihat bagaimana kita dapat menghasilkan komuniti usahawan yang lebih ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE