BANDAR RAYA MEXICO – Pertempuran antara orang awam dan salah satu kartel dadah kejam di Mexico meragut 14 nyawa termasuk 10 pembunuh upahan kumpulan penjenayah tersebut, lapor laman berita Daily Star kelmarin.
Empat yang lain cedera akibat terkena tembakan dan dua orang hilang dalam keganasan tersebut di Negeri Mexico, Jumaat lalu.
Menurut media tempatan, kartel dadah La Familia Michoacana mengumumkan baru-baru ini bahawa ia menaikkan cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani di bandar Texcaltitlán.
Cukai tersebut adalah perkara biasa di seluruh Mexico, dengan pemilik-pemilik perniagaan membayar kartel dadah supaya mereka dapat beroperasi tanpa gangguan.
Kumpulan petani Texcaltitlán bertemu dengan anggota-anggota La Familia Michoacana di sebuah padang bola sepak, Jumaat lalu untuk berunding. Bagaimanapun, keganasan tercetus selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah cukai yang perlu dibayar.
Rakaman video dari padang bola sepak menunjukkan orang ramai berlari sambil bunyi tembakan kedengaranKlip video itu turut memaparkan kenderaan terbakar dan mayat bergelimpangan di tempat kejadian.
Media tempatan melaporkan, empat daripada mangsa yang maut ialah petani tempatan, dan 10 yang lain merupakan anggota kartel. Beberapa penjenayah juga telah ditetak dengan parang.
Ketua tempatan La Familia Michoacana, Rigoberto de la Sancha Santillan yang juga dikenali sebagai ‘El Payaso’ terbunuh dalam pertempuran itu.
Ketua Pejabat Peguam Negara Mexico, José Luis Cervantes Martínez berkata, El Payaso bertanggungjawab ke atas kematian 13 anggota pasukan keselamatan Mexico pada 2021.
Beliau juga mengesahkan bahawa El Payaso dibunuh oleh orang awam pada Jumaat lalu, bersama-sama dua pembunuh upahan kanan La Familia Michoacana.
Gabenor Negeri Mexico, Delfina Gómezpula mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku.
“Kejadian ini tidak melumpuhkan kami, sebaliknya, ia mengukuhkan keazaman kami untuk meningkatkan keadaan keselamatan di negeri tercinta kami. Yakinlah bahawa kami akan terus berusaha supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya. – AGENSI