PETALING JAYA – Kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, masih lagi misteri hingga ke hari ini.
Ibu kanak-kanak lelaki terbabit, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkata, Zayn sempat keluar bersama keluarga pada 4 Disember lalu, sehari sebelum dilaporkan hilang.
Perkara itu dikongsikan oleh Ismanira di ‘story’ Instagram miliknya beserta beberapa keping gambar bersama anak sulungnya itu.
“Waktu ini Isnin minggu lepas, 4 Disember, ini kali terakhir mommy dan daddy dapat bawak abang jalan-jalan.
“Abang dan adik suka sangat jalan-jalan.. dapat pusing-pusing pusat beli belah dan makan-makan.
“Itu memang happy sangat-sangatlah dua beradik ni, penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba jugak bawak abang dan adik jalan-jalan.. happy sangat abang waktu ni,” luahnya dalam hantaran hari ini.
Siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak ini sudah memasuki hari ketujuh.
Pencarian bukti serta maklumat lain diteruskan anggota Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini di sekitar kediaman Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai. – KOSMO! ONLINE