KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah dilantik sebagai Pengerusi baharu bagi Institut Jantung Negara Sdn Bhd. (IJN).
IJN dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Dr. Noor Hisham merupakan episod menarik bagi IJN berikutan pengalaman luasnya dalam sektor penjagaan kesihatan khususnya peranan menerajui kepimpinan tertinggi sepanjang kariernya.
Justeru, IJN percaya pengalaman meluas Dr. Noor Hisham dalam sektor penjagaan kesihatan akan menjadi aset penting untuk kejayaan berterusan IJN, diperkukuh dengan kemahiran beliau dalam bidang tadbir urus dan pengurusan, serta komitmen yang teguh terhadap penjagaan pesakit.
“Tahniah saya ucapkan kepada Dr. Noor Hisham atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi baru di IJN. Saya yakin pandangan jauh beliau akan memberi dorongan kepada IJN untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim.
Dr Noor Hisham menggantikan Datuk Dr. Abdul Rozali A Wathooth, yang telah mengetuai IJN sebagai Pengerusi sejak 29 November 2019 dan sebagai Lembaga Pengarah sejak 6 Februari 2006.
“Bagi pihak IJN, saya juga berterima kasih kepada Dr. Abdul Rozali atas sumbangan beliau selama ini. Jasa beliau akan terus menjadi inspirasi kepada kami pada masa akan datang,” kata Dr. Aizai Azan.
Menurut kenyataan itu lagi, IJN akan kekal fokus pada peningkatan kebajikan pesakitnya dan menerima dengan baik inovasi, terutama di dalam landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang. – KOSMO! ONLINE