TERENGGANU FC (TFC) mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala AFC sewaktu melayan kunjungan kelab Indonesia, Bali United bagi aksi terakhir Kumpulan G malam ini.
Menyedari peluang lolos sebagai juara kumpulan kian sukar, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner akur tidak mengharapkan keajaiban berlaku dalam pertemuan antara Central Coast Mariners (CCM) dan Stallion Laguna.
“Berdasarkan matematik, kami memang masih boleh layak, tetapi agak mustahil mengharapkan CCM tewas kerana kami pernah keciciran mata bertemu Stallion Laguna sebelum ini.
“Apa pun kami tetap mahu meraih kemenangan pada aksi terakhir Piala AFC walaupun apa keputusan antara CCM dan Stallion Laguna yang berlangsung lebih awal sebelah petang,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.
Steinbruckner mengakui sedikit gusar dengan moral anak buahnya yang terjejas susulan kekalahan 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, Jumaat lalu.
“Perasaan itu adalah normal. Kami juga menjangkakan tentangan sengit daripada Bali United. Kelab itu berada pada prestasi lebih baik dengan kedudukan kedua Liga Indonesia,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap, Sony Norde berkata, mereka masih belum mahu menyerah kalah dalam perjuangan merebut kedudukan pasukan naib juara terbaik bagk lolos ke pusingan kalah mati Piala AFC.
“Dalam bola sepak segalanya boleh terjadi, apa yang penting kami harus menang. Ia nampak sukar tetapi itulah satu-satunya pilihan yang kami miliki,” tambahnya