fbpx

Tanda aras, wanita idaman Pope Thanavat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA tahun lalu, drama bersiri Thailand, Love Destiny gandingan Thanavat Vatthanaputi atau Pope Thanvat dan Bella Ranee Campen pernah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat, termasuk di Malaysia.

Kini, duo serasi itu kembali mengubat rindu khalayak menerusi karya terbaharu mereka bertajuk Deceitful Love. Drama tersebut sedang ditayangkan menerusi platform Dimsum Entertainment sejak 5 Oktober lalu.

Mengambil masa hampir dua tahun untuk selesai penggambaran, Deceitful Love atau tajuk bahasa Thailand Roy Lehr Marnya menampilkan gandingan kedua Pope dan Bella selepas kejayaan Love Destiny.

HibGlam berpeluang menemu bual Pope tentang drama terbaharunya dan menyingkap perjalanan seni aktor Thai berusia 37 tahun itu.

SEBELUM bergelar pelakon, Pope pernah bekerja sebagai pereka grafik di sebuah agensi pengiklanan selama beberapa tahun.
– IHSAN DIMSUM ENTERTAINMENT

KOSMO!: Drama Love Destiny memberi impak besar kepada peminat terutama yang berada di luar Thailand. Anda dan Bella telah meletakkan satu tanda aras, jadi adakah pencapaian lama menakutkan anda berhubung reaksi peminat terhadap Deceitful Love?
POPE: Saya bangga dan kagum dengan kejayaan yang kami terima daripada drama Love Destiny.
Selain keberkesanan lakonan semua, drama itu membantu khalayak mengenali sejarah Thailand.
Namun, kejayaan drama lalu tidak menggerunkan saya, khususnya berkenaan respons terhadap Deceitful Love.
Saya yakin kerjasama dengan Bella sentiasa membuahkan hasil terbaik.

Adakah watak Ramin lakonan dalam Deceitful Love lebih sukar dibawa berbanding Dech (Love Destiny)?
Watak Ramin menuntut saya mempelajari istilah undang-undang kerana dia seorang peguam.
Pada masa sama, saya tidak mahu dia kelihatan terlalu kaku dan bosan.Deceitful Love
Saya cuba warnakan watak Ramin menjadi lebih unik dan tidak kosong seperti peguam yang biasa kita lihat dalam kaca televisyen.

Bagaimanakah karakter realiti? Adakah lebih menyamai Dech atau Ramin?
Rasanya saya ialah Ramin dalam dunia realiti kerana saya seorang yang ceria dan optimistik. Saya tidak terlalu serius dan suka bergurau. Namun, saya boleh menjadi serius jika situasi memerlukan.

Boleh kongsikan perasaan dapat bergandingan dengan Bella untuk kali kedua dalam Deceitful Love?
Saya gembira kerana ramai peminat memuji keserasian kami sebagai pasangan kekasih.
Kami berkawan baik selepas berlakon dalam Love Destiny jadi tiada masalah untuk kembali bekerjasama. Kru Deceitful Love juga pasukan sama bagi Love Destiny. Jadi saya sangat selesa sepanjang penggambaran.

Apakah rahsia keserasian anda dan Bella?
Sejujurnya tiada rahsia istimewa antara kami. Saya dan Bella hanya berikan yang terbaik untuk menghidupkan karakter masing-masing.
Saya cuma gembira peminat dapat merasai persembahan lakonan kami sehingga menyentuh hati mereka.

PASANGAN Pope dan Bella yang digilai peminat dek keberkesanan lakonan mereka dalam drama Love Destiny kembali bergandingan menerusi drama cinta dan undang-undang, Deceitful Love.

Bergelar seorang selebriti, bagaimanakah anda lihat platform media sosial membantu menghubungkan anda dengan peminat?
Saya tidak nafikan Facebook, Instagram dan Twitter mendekatkan peminat untuk mengikuti perkembangan kerjaya saya.
Saya jarang mengemas kini status laman sosial kerana cara saya berinteraksi dengan peminat ialah dengan mengajak mereka melakukan aktiviti amal bersama.
Saya tidak mahu menjadi seorang anak seni yang sekadar berborak kosong dalam media sosial kerana tidak memberi faedah kepada sesiapa.

Adakah anda berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai sebagai seorang aktor setakat ini?
Saya memulakan kerjaya sejak 2006. Itu satu perjalanan yang panjang dan berliku. Saya berdepan banyak kegagalan, ditolak menjadi hero dan drama dibatalkan tawaran.
Saya cuma bersyukur kerana saya berjaya mengharungi dugaan itu dan ya, saya bangga dengan apa yang saya capai sekarang.
Mungkin tidak seberapa bagi sesetengah pelakon lain, namun bagi saya, itu pengalaman yang cukup berharga.

Jika tidak bergelar pelakon, apakah pekerjaan yang akan anda lakukan?
Saya merupakan graduan komunikasi dan seni reka, jadi jika tidak bergelar pelakon mungkin kerjaya saya berkaitan dengan bidang tersebut.
Namun, sejak dahulu saya menyimpan hasrat untuk menjadi guru seni lukis kanak-kanak.

Apakah ciri-ciri wanita idaman anda?
Saya sukakan wanita yang kemas, bermata cantik dan mempunyai senyuman menawan.
Dia juga perlu ada pemikiran yang sama dengan saya dan boleh menyokong saya dalam apa jua keadaan.
Saya inginkan teman hidup yang baik hati, elok pekerti dan bersopan santun, tidak kira betapa moden kehidupannya.
Bagaimanapun, saya tidak pasti jika wujud wanita sebegitu, sebab semuanya kedengaran seperti satu fantasi.

POPE memulakan langkah dalam industri seni pada 2006 selepas berjaya dipilih membawa watak utama sebuah drama Channel 9 televisyen Thailand. Pope sekarang mengikat kontrak dengan Channel 3 di negara sama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI