fbpx

6,796 kes Covid-19 minggu lalu, naik sekali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Negara terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dengan sejumlah 6,796 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME 48/2023) berbanding 3,626 kes yang dilaporkan pada ME 47/2023.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan adalah 3.5 peratus bagi setiap 100,000 penduduk dan 1 peratus bagi setiap 100,000 penduduk adalah bergejala ringan.

“Pada ME 48/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.8 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal Covid-19 pula adalah sebanyak 1.1 peratus.

“Sehingga ME 48/2023, 72.9 peratus daripada varian dibimbangi (VOC) yang dikesan adalah terdiri daripada varian Omicron diikuti dengan 26.2 peratus daripada varian Delta dan selebihnya adalah varian Beta dan Alpha.

“Sehingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia dan tiada petunjuk varian yang beredar secara tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 dicatatkan, secara keseluruhannya keadaan di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“Peningkatan kes Covid-19 juga dilaporkan secara global termasuk di Malaysia dan negara-negara jiran.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi dan varian Covid-19 dari semasa ke semasa serta sentiasa bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” ujarnya.

Muhammad Radzi turut menasihati orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai.

“Sekiranya perlu ke tempat awam, adalah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka dengan cara yang betul bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI