KUALA LUMPUR – Tiga pengarah syarikat pelaburan ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penipuan pelaburan ‘Giganation GIB’ melibatkan nilai kerugian dilaporkan mencecah RM3,992,486.43.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima sebanyak 57 laporan berhubung kegiatan penipuan pelaburan tersebut sejak 15 Mac 2021.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, syarikat itu telah memulakan operasi sekitar tahun 2017 dan menjalankan perniagaan berkaitan pembangunan hartanah, tanah, tanah pertanian, aset dan pengurusan liabiliti.
“Promosi pelaburan dibuat melalui Facebook serta ejen syarikat yang dilantik. Dua pakej pelaburan ditawarkan iaitu GIB Sub-Let 2020 (tempoh matang dua tahun dan dua bulan) serta GIB Sub-Let Flipping 2020 (tempoh matang setahun).
“Wang pelabur dikatakan akan dilaburkan dalam bidang hartanah dan pelabur dijanjikan keuntungan sebanyak RM540 setiap 45 hari (bagi pakej pertama) dan setiap 60 hari (bagi pakej kedua),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ramli berkata, kebanyakan pelabur telah menerima dividen dalam satu atau dua bulan pertama, namun selepas itu ia tidak lagi dibayar.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 49 hingga 57 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman pertama dibenarkan tiga hari sehingga semalam dan permohonan reman kedua dibenarkan selama dua hari sehingga esok,” ujarnya.
Berhubung kes penipuan pelaburan forex, beliau berkata, sebanyak 10 laporan polis diterima sejak 1 November lalu melibatkan nilai kerugian RM4.7 juta.
Katanya, siasatan mendapati, laman web yang mengendalikan pelaburan tersebut dipercayai beroperasi di luar negara, manakala mangsa-mangsa dijanjikan pulangan modal dan keuntungan sebanyak lima peratus daripada nilai pelaburan.
“Mangsa mendakwa yakin dengan pelan pelaburan tersebut setelah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi Zoom. Pembayaran wang pelaburan dengan nilai RM437,253 hingga RM864,303 dibuat menerusi aplikasi Houbi (aplikasi pertukaran wang kripto).
“Berdasarkan analisis dijalankan, JSJK berjaya mengesan satu sindiket antarabangsa yang melakukan transaksi mencurigakan dengan nilai lebih RM1 bilion. Maklamat individu berkaitan telah diperolehi dan tindakan susulan sedang dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE