PARIS – Sebentuk cincin berlian milik seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang didakwa dicuri semasa dia menginap di sebuah hotel di Paris, sudah ditemui di dalam beg pembersih vakum.
Menurut laporan akhbar Metro UK, wanita tersebut melaporkan kehilangan cincin bernilai lebih AS$800,000 (RM3.73 juta) itu di balai polis dan mendakwa ia mungkin telah dicuri oleh kakitangan Hotel Ritz Paris.
Dia menyedari kehilangan cincin bertatah berlian 6.51 karat yang diletakkan di atas meja biliknya itu selepas pulang dari rombongan beli-belah di sekitar Place Vendome Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan kepada akhbar Le Parisien, pihak pengurusan Hotel Ritz Paris berkata, barang kemas wanita itu telah ditemui di dalam salah satu beg pembersih vakum.
“Hasil pencarian teliti pekerja keselamatan, cincin itu ditemui pagi ini (semalam).
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Hotel Ritz Paris yang terlibat dalam pencarian ini serta bekerja dengan integriti dan profesionalisme pada setiap hari,” katanya.
Tambah kenyataan itu, wanita tersebut akan kembali menuntut cincin itu selepas melakukan perjalanan ke London. – AGENSI