fbpx

Tapak sampah haram Kapar lebih kepada pencerobohan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suee Lim ketika ditemui pemberita di Istana Alam Shah, Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Isu tapak sampah haram di Kapar dekat sini lebih dikategorikan kepada pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam melupuskan sampah-sampah tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menelitinya termasuk turun ke lokasi dalam masa terdekat.

“Kenapa wujud, siapa dalang di bekalangnya harus dikenalpasti juga dengan pemakluman telah dilakukan termasuk saman kepada pemilik tanah.

“Tuan tanah memaklumkan mereka tidak tahu ada pembuangan dan kerja-kerja di tanah mereka disebabkan tidak menerima sewa dan sebagainya.

“Maknanya isu itu diklasifikasikan pencerobohan namun kita masih perlu lakukan siasatan sama ada benar atau tidak,” katanya kepada pemberita Istana Alam Shah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bagi menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Sultan ke-78 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan membawa isu tapak haram yang membelenggu penduduk di tujuh penempatan berdekatan Batu 14, Kapar ke dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Tapak sampah itu sebelum dikatakan terbesar di Asia Tenggara oleh pemerhati alam sekitar dari Jerman, Asmir Samardizc sebelum ini.

Suee Lim turut berharap penduduk Klang akan lebih mementingkan kebersihan sejajar dengan penaiktarafannya sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 23 November lalu sebelum pemasyhuran yang dijangka Januari ini oleh Sultan Selangor.

“Hal kebersihan akan saya teliti dan berbincang dengan pihak majlis dalam cari ruang dan kaedah terbaik supaya Klang lebih bersih dan menetapi sebagai Majlis Bandaraya Diraja.

“Cuma kita rayu penduduk di Klang ubah sikap sebab sudah naik taraf (Majlis Bandaraya). Sekiranya tidak mahu berubah dan tiada kerjasama akan membantutkan usaha itu meskipun pihak berkuasa tempatan bekerja kuat dalam membaiki infrastrukturnya,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI