IPOH – Seramai 86 warga asing diselamatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerusi operasi penguatkuasaan perburuhan yang dilaksanakan di tiga tapak pembinaan hari ini iaitu satu masing-masing di sini, Sitiawan dan Tapah.
Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, operasi dilaksanakan itu melibatkan agensi dan beberapa jabatan bagi memastikan kebajikan para pekerja terjaga sekali gus menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa negara mengamalkan buruh paksa.
Katanya, operasi hari ini menyaksikan seramai 52 lelaki diperiksa di Ipoh manakala 17 orang masing-masing diperiksa di Tapah dan Sitiawan, dengan warga asing dikenal pasti berasal dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
“Daripada jumlah tersebut, sembilan individu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala 23 yang lain adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Antara kesalahan yang dikesan di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM adalah termasuk tiada perakuan penginapan pekerja yang merupakan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ops tersebut disertai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Mengulas lanjut, Kamal berkata, kesalahan lain dilakukan termasuklah di bawah Akta Kerja Seksyen 25A iaitu membayar gaji secara tunai dan bukan melalui institusi kewangan serta Subseksyen 60K (3) Akta Kerja 1955 iaitu kegagalan melapor penggajian pekerja asing.
Katanya, terdapat juga pekerja yang dikategorikan sebagai terabai iaitu mereka dibawa masuk secara sah berpermit tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan sejak mereka menjejakkan kaki di Malaysia.
Beliau menegaskan, kesemua kesalahan itu akan diambil tindakan selaras dengan akta berkaitan. – KOSMO! ONLINE