KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, kemenangan penyanyi Jaclyn Victor pada All Stars Gegar Vaganza (GV10) malam tadi menjadi topik perdebatan hangat netizen dalam media sosial gara-gara tidak sependapat dengan pilihan juri.
Sedar ketidakpuashatian banyak pihak, Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac meminta peminat agar tidak bergaduh, sebaliknya menerima segala keputusan yang diumumkan di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan hati terbuka.
“Peminat boleh bawa bertenang. Bukan saya yang berikan markah.
“Saya tidak tahu kriteria markah dan mungkin ini rezeki saya. Saya berserah sahaja.
“Semasa berdiri di atas (pentas), apa pun yang terjadi malam ini saya berserah,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar usai konsert GV10.
Semasa bertanding, pemilik nama lengkap Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu berkata dia hanya mahu fokus terhadap persaingan secara sihat yang diamalkan finalis GV10 apabila masing-masing sentiasa menyokong antara satu sama lain.
“Siapa pun yang menang, saya akan tumpang gembira dengan kemenangan mereka.
“Liza pun sudah buat yang terbaik malam ini. Saya sayang Liza dan semua peserta lain.
“Saya harap orang dapat melihat keikhlasan persahabatan kami,” ujarnya lagi.
Perdebatan bermula apabila ramai meramal Liza Hanim berhak menyandang gelaran tersebut kerana sudah memberikan yang terbaik dalam ketiga-tiga persembahannya, solo, duet bersama Aina dan pusingan battle.
Semalam, Jac yang sebelum ini bergelar penyandang juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) merangkul gelaran juara GV10 yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Finalis lain tidak pulang tangan kosong apabila mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang, pakej percutian tajaan KakiJalan dan juga trofi Gegar Vaganza.
Buat pertama kali, GV10 bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 11,000 penonton. -KOSMO! ONLINE