MELAKA – Seorang lelaki warga Myanmar menimbulkan kekecohan apabila mengugut untuk terjun dari bumbung sebuah rumah di Taman Pertam Jaya di sini dipercayai selepas cubaanya untuk memecah masuk kediaman disedari penduduk, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, suspek berusia 31 tahun berjaya diberkas polis selepas atap genting rumah teres setingkat itu pecah dan menyebabkannya terjatuh ke bawah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan unit peronda cegah jenayah telah ke lokasi sejurus menerima maklumat dan mendapati seorang lelaki berada di atas bumbung sambil memegang sekeping atap genting.
“Pihak polis telah mendapatkan bantuan daripada pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu untuk memujuk suspek turun, namun lelaki itu tidak mengendahkannya.
“Suspek kemudian bertindak membaling kepingan atas genting ke bawah dan salah seorang anggota polis memanjat naik ke atas bumbung untuk memujuk tetapi suspek melarikan diri ke bumbung rumah yang lain,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tambahnya, suspek juga memegang sekeping atap genting dan meletakkannya di atas kepalanya sebelum mengugut polis untuk terjun ke bawah sekiranya dia dihampiri.
“Pasukan bomba cuba menggunakan pancuran air untuk menghalang suspek daripada terjun tetapi ketika operasi pancuran ingin dimulakan, atap genting dipijak lelaki itu telah pecah lalu menyebabkannya terjatuh ke bawah.
“Suspek kemudian diberkas dan pemeriksaan pada badan tidak menjumpai barang salah. Akibat kemalangan itu dia mengalami kecederaan luka di bahagian kepala serta leher,” ujarnya.
Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – KOSMO! ONLINE