PETALING JAYA – Seramai 48 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang dipanggil itu termasuklah ibu dan bapa, guru, jiran kanak-kanak itu serta saksi bebas.
“Sebanyak 48 individu telah dirakam keterangan setakat ini. Dua daripada mereka adalah ibu dan bapa Zayn Rayyan.
“Seorang adalah guru manakala 45 lagi adalah saksi bebas dan jiran yang tinggal di apartmen berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut mengesahkan pihaknya mengambil sebanyak 228 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kalangan penduduk sekitar.
“Sampel DNA daripada 228 individu diambil dan ia melibatkan 18 blok apartmen terbabit,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 228 individu telah diambil DNA bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan, 6.
Ujian DNA itu melibatkan pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini. -KOSMO! ONLINE.