SUNGAI PETANI – Harga hasil laut seperti sotong, ketam dan beberapa jenis ikan yang dijual daerah ini didapati meningkat antara RM1 hingga RM8 sejak dua minggu lalu, meskipun bekalan ketika ini didapati mencukupi keperluan.
Tinjauan di beberapa pasar basah di sini mendapati harga sotong dan ketam bunga bersaiz kecil mencecah RM40 sekilogram (kg) berbanding kira-kira RM32 sekilogram sebelum ini.
Ikan kembung dijual pada harga kira-kira RM18 sekilogram berbanding antara RM14 hingga RM15 sebelum ini, manakala ikan selar antara RM16 hingga RM20 sekilogram berbanding RM12 sekilogram.
Selain itu, ikan kerisi dijual antara RM14 hingga RM16 sekilogram berbanding antara RM10 hingga RM12 sekilogram sebelum ini.
Tinjauan sama mendapati, ikan sardin pula dijual pada harga kira-kira RM10 sekilogram berbanding RM9 sekilogram dan ikan tongkol RM16 berbanding antara RM9 hingga RM12 sekilogram, ikan gelama kira-kira RM14 sekilogram berbanding RM10 dan ikan tamban pada harga RM10 berbanding RM8 sekilogram sebelum ini.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Kassim berkata, sebelum ini dia menjual ikan kembung, ikan selar dan ikan kerisi antara RM12 hingga RM13 sekilogram kerana mendapat bekalan pada harga rendah.
“Namun, sejak dua minggu lalu saya terpaksa menaikkan harga kerana modal untuk mendapatkan bekalan ikan tersebut agak tinggi.
“Malah, ikan bersaiz besar seperti tongkol, gerut-gerut dan tenggiri turut terpaksa dijual 10 peratus melebihi harga biasa,” katanya di sini semalam.
Suri rumah, M. Letchumani, 48, berkata, dia terpaksa mengehadkan pembelian ikan dan hasil laut kerana harganya yang agak tinggi.
“Memang harga ikan sekarang mahal daripada biasa tetapi kita tidak mempunyai pilihan lain. Biasanya di pasar pagi seperti ini harga hasil laut tersebut agak murah berbanding dijual di pasar raya atau mana-mana premis perniagaan lain,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Khadijah Abu Hassan, 49, berkata, dia memilih membeli ikan sejuk beku yang boleh didapati dengan harga lebih murah di pasar raya besar.
“Ikan rakyat seperti kerisi, selayang atau sardin dan tamban masih boleh lagi didapati di bawah harga RM10 sekilogram. Walaupun ikan ini tidak segar seperti yang boleh didapati di pasar basah, namun kami terpaksa mendapatkannya untuk menjadi hidangan keluarga,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui berlaku kenaikan harga ikan di pasaran, tetapi tidak membimbangkan berikutan mempunyai bekalan mencukupi.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenaikan antara 10 hingga 15 peratus itu dikesan berpunca daripada tindakan orang tengah yang semata-mata memikirkan keuntungan segera.