KEMAMAN – Seorang pengusaha kedai makan tergamam selepas premisnya tiba-tiba dinaiki air banjir sewaktu dia sedang rancak melayan pelanggan yang membeli sarapan di premisnya di Kampung Teladas dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Rohidah Mahmud, 49, sekadar mampu memerhati sebahagian makanan jualan dan perkasasan dapurnya seperti periuk dihanyutkan banjir.
“Walaupun hujan lebat sejak awal pagi , saya tetap mahu berniaga pagi ini kerana persiapan sudah dibuat dan sajian siap dimasak.
“Saya tidak menyangka air banjir naik dengan begitu cepat tidak sampai dua jam selepas saya membuka operasi kedai makan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Rosidah berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia hanya mampu menyelamatkan makanan dan peralatan kedai makannya.
Begitupun dia bersyukur dirinya dan pelanggan berjaya menyelamatkan diri daripada banjir sedalam hampir 1.6 meter tersebut.
Seorang penduduk lain, Mohd. Yuhami Mohd. Yussof, 34, pula berkata, situasi banjir yang melanda perkampungannya semalam mengingatkannya tentang bencana besar yang pernah berlaku pada tahun 2014. – K! ONLINE