PARIS – Seorang ahli perniagaan wanita dari Malaysia mendakwa bahawa sebentuk cincin berlian miliknya yang bernilai lebih AS$800,000 (RM3.73 juta) telah dicuri semasa dia menginap di sebuah hotel di Paris, lapor laman berita People semalam.
Menurut laporan akhbar Perancis, Le Parisien, wanita itu memaklumkan bahawa cincin berliannya dicuri di hotel Ritz Paris.
Wanita yang namanya tidak didedahkan itu dilaporkan mengikuti rombongan beli-belah di sekitar Place Vendome kelmarin.
Apabila kembali ke bilik hotelnya sebelum waktu tengah hari, ahli perniagaan tersebut mendakwa bahawa dia menyedari cincin yang ditinggalkan di atas katilnya telah hilang.
Beberapa jam kemudian, dia pergi ke sebuah balai polis terdekat untuk melaporkan barang kemas yang hilang itu sebelum pihak berkuasa mengikutinya kembali ke hotel bagi melakukan siasatan awal.
Pihak berkuasa tempatan dan wakil Hotel Ritz Paris enggan memberikan komen kepada People. – AGENSI